KUALA TERENGGANU, -- Menteri Besar Datuk Ahmad Razif
Abdul Rahman telah mengumumkan penemuan fosil dinosaur berusia
Jura-Kapur di sekitar Gunung Gagau di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya penemuan itu diperoleh hasil ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur
2014 selama 10 hari bermula 13 Okt lepas yang dilaksanakan Jabatan
Mineral dan Geosains Malaysia dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia
(KWGM).
Ekspedisi itu disertai tujuh penyelidik dari Universiti Kebangsaan
Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas dan
Universiti Malaysia Kelantan, dua kakitangan pegawai Jabatan Perhilitan
Negeri Terengganu serta 10 pegawai Geosains, katanya.
Ahmad Razif berkata ekspedisi itu menemui dua fosil gigi, beberapa kesan
tapak kaki dari enam kawasan dan empat tulang dinosaur dari kumpulan
Theropod serta Sauropod dan dinosaur spesies Iguanodon di Sungai
Chichir, Gunung Gagau.
"Gunung Gagau terletak di sempadan Terengganu-Kelantan-Pahang yang mana
ekspedisi berkenaan turut menemui fosil tumbuhan, kayu terpetri dan
singkapan batu arang di Sungai Pertang.
"Alhamdulillah, dengan penemuan ini saya yakin ia akan memberi kekuatan
dan tambah nilai ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan Geopark
Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dan diiktiraf sebagai Geopark
Global Unesco," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini
hari ini.
Ahmad Razif berkata pihaknya berharap Jabatan Mineral dan Geosains
Malaysia akan meneruskan usaha secara lebih terperinci dan pihak
kerajaan negeri menyokong penuh usaha tersebut serta bersedia
menyediakan bantuan sewajarnya bagi menjayakan projek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,
Datuk Yunus Abdul Razak berkata penemuan tersebut memberi keyakinan
bahawa terdapat fosil dinosaur di Malaysia.
"Sebenarnya, kita memang sudah lama mencari fosil-fosil ini yang mana
kita mencari di kawasan yang mempunyai batuan berusia Jura-Kapur dan
berdasarkan kajian, dinosaur hanya wujud di kawasan batuan ini sahaja
dan di Malaysia, hanya dua tempat yang ada batuan berusia Jura-Kapur ini
iaitu di Gunung Gagau ini dan di Gunung Panti, Johor.
"Penemuan fosil dinosaur lebih daripada 20 spesies di Dataran Tinggi
Korat, Thailand sebenarnya yang membina semangat kami untuk mencari
dinosaur ini di sini dan Alhamdulillah, selepas berpanas dan berhujan
hasil penat lelah kami terbayar dengan penemuan ini," katanya.
"Penemuan fosil dinosaur ini juga membuka dimensi baharu ilmu geologi di
samping dapat memberi lonjakan impak kepada industri ekopelancongan
negara.
Awal tahun ini, fosil tumbuhan kuno berusia Jura-Kapur antara 270 hingga
340 juta tahun ditemui berhampiran Ampangan Paya Peda, Hulu Besut.
-- BERNAMA
Dinasour memang wujud kan. Binatang yang besar- besar. Rasa macam dongeng je sebab tak nampak depan mata. Tapi ia memang betul
ReplyDelete