Adakah anda seorang yang mempunyai masalah untuk menguruskan masa?
Sekiranya anda mengalami kesukaran ini, berkemungkinan anda tidak
mengetahui teknik asas untuk menguruskan masa dengan lebih baik.
Kita semua tahu masa itu emas. Tetapi
masih ramai yang suka membazir dan melengah-lengahkan masa yang ada.
Orang yang suka membazirkan masa adalah orang yang rugi. Jadi manfaatkan
masa yang ada dengan bijak.
Pengurusan masa sebenarnya sangat
membantu dalam kehidupan harian dan membantu menentukan perkara yang
sepatutnya dilakukan terlebih dahulu. Hari ini kami mahu berkongsi
beberapa sebab kenapa pengurusan masa aladah penting. Perkara ini boleh
dipraktikkan oleh semua tidak kira yang bekerja atau yang masih sekolah.
Disini saya ingin berkongsi 8 cara mudah untuk meningkatkan pengurusan masa anda.
Tahu yang anda sebenarnya mempunyai masalah untuk menguruskan masa
-
Mengetahui bahawa anda mempunyai masalah pengurusan masa adalah langkah
pertama untuk mengubah sikap anda. Berkemungkinan kadang-kadang anda
akan terlambat untuk pergi bekerja atau menghadiri aktiviti sosial,
tetapi ia seharusnya tidak berlaku pada setiap hari atau setiap minggu.
Sekiranya anda masih melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali,
ia bermakna anda masih tidak menyedari masalah anda.
Mengambil keputusan untuk berubah
- Apabila sudah
mengetahui masalah sebenar, anda perlu mengambil keputusan untuk
melakukan perubahan di dalam hidup anda. Keputusan yang telah diambil
perlu disertakan dengan tindakan untuk mencapai sesuatu objektif yang
telah ditetapkan. Sebagai contoh, mungkin anda mengambil keputusan untuk
tidak lagi datang lewat ke tempat kerja, ia juga perlu disertakan
dengan tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan untuk mengelakkan anda
datang lewat seperti tidur awal, kurangkan melepak bersama rakan pada
waktu malam dan sebagainya.
Tetap dengan objektif anda
- Usaha yang dilakukan
untuk menjadi seorang yang lebih menghargai masa bukanlah satu perkara
yang mudah untuk dicapai. Berkemungkinan sebulan anda mampu untuk sampai
kerja awal, tetapi selepas itu ia akan kembali seperti sedia kala. Anda
perlu tetap dengan objektif kehidupan. Pastikan anda selalu mengingati
tujuan hidup dan sentiasa berusaha untuk mencapainya. Lama kelamaan ia
akan sebati dengan cara hidup anda.
Buat senarai tugas harian
- Membuat senarai yang
harus dilakukan untuk diri sendiri adalah cara yang mudah untuk
menguruskan masa dengan lebih baik. Catitkan apa yang harus anda lakukan
sepanjang hari. Pastikan senarai tugasan yang anda lakukan mengikut
terhadap kepentingan sesuatu perkara itu.
Peralatan pengurusan masa
- Pasti ia merupakan satu kesukaran untuk otak anda mengingati segala tugasan harian yang perlu dilakukan. Ia juga merupakan suatu perkara yang agak mustahil. Anda perlu bijak untuk menggunakan peralatan yang berada di sekeling anda dengan lebih baik. Sebagai contoh, pada zaman yang serba canggih ini, pasti setiap orang mempunyai telefon bimbit sendiri. Catatkan nota yang perlu anda lakukan atau gunakan sistem amaran peringatan(reminder) untuk mengingatkan anda melakukan sesuatu tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Bijak untuk menerima atau menolak suatu pelawaan
-
Sudah pasti anda pernah mengalami situasi dimana anda sedang cuba
menyiapkan kerja dan dalam masa sama rakan-rakan anda mengajak untuk
keluar minum atau sebagainya. Anda seharusnya lebih bijak untuk
menangani situasi ini. Anda perlu tahu kesan sekiranya anda menerima
atau menolak pelawaan tersebut. Sekiranya anda menerima pelawaan
tersebut tetapi ia akan menyebabkan anda terlewat untuk menyiapkan
tugasan pada tarikh yang telah ditetapkan, anda dinasihatkan untuk
menolaknya. Urus masa anda dengan lebih bijak.
Sistematik
- Melakukan suatu tugasan dengan
bersistematik dapat membantu untuk menguruskan masa dengan lebih baik.
Pasti sepanjang hari banyak perkara yang ingin anda lakukan selain
bekerja sahaja seperti bermain dengan anak, keluar bersiar-siar dan
sebagainya. Rancang masa anda dengan bersistematik supaya anda dapat
menikmati kepelbagaian kehidupan harian anda. Ini juga dapat membantu
untuk mengelakkan anda daripada melalui kehidupan yang membosankan.
Dapatkan bantuan pakar
- Sekiranya anda masih lagi
menghadapi kesukaran untuk menguruskan masa, anda perlu mendapatkan
nasihat pakar. Berkemungkinan jadual pekerjaan anda yang terlalu padat
memberi kesulitan kepada anda untuk merancang masa dengan lebih baik.
Pakar sudah semestinya lebih mengetahui penyelesaian yang terbaik untuk
menyelesaikan sesuatu masalah itu.
Dalam pengurusan masa juga kita mempunyai pilihan untuk mengurus masa
dengan bijak. Kita boleh pilih sama ada ingin menggunakan buku kecil
(diari), telefon bimbit atau komputer untuk mengatur masa kita.
Kelengkapan teknologi masa kini memberi satu ruang kepada kita untuk
mengatur masa kita. Jadi tiada alasan untuk kita tidak dapat menguruskan
masa dengan bijak! Pilihan di tangan anda...anda mampu mengubahnya...