Mengetahui ada antara anak rakan anda yang boleh membaca seawal usia
dua tahun pasti membuatkan anda tertanya-tanya bagaimana ia boleh
dilakukan.
Melihat sendiri kebolehan kanak-kanak itu membaca seolah-olah
memberikan satu motivasi kepada anda sebagai ibu bapa untuk menjadikan
anak anda juga pandai membaca pada awal usia.Saya ingin berkongsi dengan
anda 6 kaedah efektif mengajar anak anda membaca dengan cepat yang dipetik dari Women Online magazine.
Kaedahnya adalah seperti berikut:
1. Mulakan dengan abjad kecil
Kalau anda mahu mengajar anak anda, mulakan dengan abjad kecil dalam
pembacaan dan cara penulisan kerana ia lebih mudah. Sebagai contoh ajar
‘a’ dulu sebelum ‘A’. Anak anda perlu menguasai peringkat bentuk mudah
sebelum bentuk yang lebih susah. Bila bentuk yang sama asyik
diulang,maka ia akan menajamkan dan mengekalkan daya ingatan anak anda.
2. Mulakan dengan hurul vokal dahulu
Huruf vokal mempunyai bunyi yang lebih menarik dan boleh
dibuat secara kreatif. Terdapat banyak cara sebenarnya namun cara yang
paling popular adalah menyanyikan huruf vokal tu. Anda sebagai ibunya
haruslah ‘sporting’ dengan cara menyanyi bersama-sama anak anda. Secara
tidak langsung anak anda akan berasa seronok dan mudah untuk mengikuti.
3. Gunakan huruf berwarna
Huruf berwarna akan merangsang pemikiran mereka supaya lebih tajam
dan mudah mengingati sesuatu. Bezakan setiap huruf yang diajar dengan
warna yang berlainan. Contohnya ‘a’ warna merah, ‘e’ warna biru dan ‘o’
warna kuning. Teknik ini amat berkesan kerana anak merasa seronok untuk
melihat perkara yang berwarna-warni. Bahan grafik yang berwarna dapat
membantu menarik minat anak kecil.
4. Ulang bacaan
Banyakkan
ulangan bila mula mengajar anak membaca, kerana anak kecil sukar untuk
mengingati sesuatu yang baru dengan cepat, malah mereka juga cepat lupa.
Jadi ulangan amat penting untuk memberi kesan yang lebih baik kepada
ingatan kanak-kanak. Anda sebagai ibu bapa haruslah jangan mudah
berputus asa dan jemu untuk mengajar anak anda.
5.Gunakan kaedah nyanyian
Anda bolehlah memuat turun lagu-lagu di dalam Internet yang berkaitan
dengan ejaan dan bacaan kemudiannya menyanyi bersama anak anda. Ini
kerana daya tarikan dalam nyanyian akan menarik minat anak kecil.
Malahan ramai budak yang tidak kenal huruf lagi boleh menyanyi lagu yang
mereka minat melalui kaedah hafalan. Jadikan senjata ini untuk anda
menarik minat mereka.
6. Tampal abjad ABC di dinding bilik tidur
Terdapat banyak produk yang dijual di kedai buku yang mengandungi
senarai A-B-C beserta gambar yang boleh anda beli kemudiannya tampal di
bilik tidur anak anda. Setiap hari,anak anda akan nampak dan secara
tidak sedar mereka akan hafal abjad tersebut. Anda juga boleh
menggunakan kaedah yang sama dengan menampalkan tulisan Jawi.
SINDROM LAMBAT MEMBACA
Biasanya kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas sudah tahu
mengenal huruf, mengeja, membaca dan menulis. Bagaimana pula bagi mereka
yang masih tidak mampu melakukan semua itu?
Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap anak mereka yang mengalami
masalah berkenaan lembap dan malas tanpa berusaha mengenal pasti punca
masalah itu berlaku.
Jika anak anda berumur lima tahun ke atas yang tetapi masih tidak
mampu mengeja dan menulis,mungkin ia disebabkan oleh sejenis sindrom
yang dipanggil disleksia. Sindrom lambat membaca ini bukan satu penyakit
berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan
dalam pembelajaran.
Apa itu Disleksia?
Disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk
menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai
sindrom “lambat baca” di kalangan kanak-kanak.
Kanak-kanak disleksia adalah normal dari segi fizikal, pemikiran dan
cara percakapan tetapi yang membezakan mereka daripada kanak-kanak lain
ialah kesukaran membentuk satu kefahaman bagi sesuatu huruf serta
menyebutnya.
Walaubagaimanapun,anda tidak perlu risau kerana rawatan bagi sindrom
ini adalah dengan menyertai pelbagai jenis program pembelajaran bagi
membentuk minat mereka untuk membaca dan menulis. Sokongan moral anda
juga amat penting bagi kanak-kanak terbabit.
Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting dalam menarik minat
anak untuk membaca sama ada dengan bahan bacaan atau teknik digunakan
mestilah menarik dan ceria.Yang penting jangan paksa anak untuk membaca
jika anak anda tidak mahu. Jadikan aktiviti membaca sesuatu yang menyeronokkan sehingga anak anda tertarik untuk membaca.Luangkan
banyak masa bersama anak-anak walaupun anda sibuk dengan kerja
seharian. Percayalah,pelaburan masa untuk permata hati anda sungguh
berbaloi.
blogger lelaki · 536 minggu tadi
My recent post Vitamin Shaklee Bagus Untuk Kesihatan
Edrina · 535 minggu tadi
My recent post 별, 그대 < Star, You > by Jung Yong Hwa